Sains Tahun 5: Kemahiran Saintifik



                                                                Video Kemahiran Saintifik

Pengenalan

  1. Kemahiran Saintifik merupakan kemahiran yang diamalkan semasa menjalankan eksperimen atau penyiasatan.
  2. Kemahiran Saintifik terdiri daripada kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif.
 
Kemahiran Proses Sains
  1. Kemahiran Proses Sains membolehkan kamu mempersoalkan tentang sesuatu perkara dan mencari jawapan secara sistematik.
  2. Terdapat 12 kemahiran Proses Sains, iaitu 7 kemahiran asas dan 5 kemahiran bersepadu.
  3. 7 Kemahiran Proses Sains Asas:
    1. Memerhati: Menggunakan deria penglihatan, pendengaran, rasa, bau, atau sentuhan untuk mengumpul maklumat tentang objek dan fenomena.
    2. Mengelas: Mengasing dan mengumpulkan objek atau fenomena berdasarkan ciri yang sama.
    3. Mengukur dan menggunakan nombor: Membuat pemerhatian secara kuantitatif dengan menggunakan nombor, alat piawai atau alat yang diseragamkan.
    4. Membuat inferens: Membuat kesimpulan awal yang munasabah, yang mungkin benar atau tidak benar untuk menerangkan sesuatu peristiwa atau pemerhatian.
    5. Meramal: Membuat jangkaan tentang sesuatu peristiwa berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang lalu atau berdasarkan data.
    6. Berkomunikasi: Menerima, memilih, menyusun dan mempersembahkan maklumat atau idea dalam bentuk tulisan, lisan, jadual, graf, rajah atau model.
    7. Menggunakan perhubungan ruang dan masa: Memerihalkan perubahan seperti lokasi, arah, bentuk, saiz, isi padu, berat dan jisim mengikut masa.
  4. 5 Kemahiran Proses Sains Bersepadu:
    1. Mentafsir data: Memberi penerangan yang rasional tentang objek, peristiwa atau pola daripada data yang dikumpulkan.
    2. Mendefinisi secara operasi: Memberi tafsiran tentang sesuatu konsep atau keadaan dengan menyatakan perkara yang dilakukan dan diperhatikan.
    3. Mengawal pemboleh ubah: Mengenal pasti pemboleh ubah dimanipulasilkan (apa yang diubah/ ditukar), pemboleh ubah bergerak balas (apa yang diperhati/ diukur) dan pemboleh ubah yang dimalarkan (apa yang ditetapkan/ sama sahaja sepanjang eksperimen).
    4. Membuat hipotesis: Membuat suatu pernyataan umum tentang hubungan antara pemboleh ubah yang difikirkan benar bagi menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa. Pernyataan ini boleh diuji untuk menentukan kesahihannya.
    5. Mengeksperimen: Merancang dan menjalankan penyiasatan untuk menguji sesuatu hipotesis, mengumpul data, mentafsirkan data, sehingga mendapat rumusan daripada penyiasatan itu.
  5. Eksperimen perlu mengikuti langkah-langkah berikut supaya pernyataan masalah boleh diselesaikan.
  6. Senarai Semak mengeksperimen:
    1. Mengenal pasti masalah
    2. Membuat hipotesis
    3. Merancang eksperimen
      1. Mengawal pemboleh ubah
      2. Menentukan peralatan dan bahan yang diperlukan
      3. Menentukan langkah-langkah menjalankan eksperimen
      4. Menentukan kaedah mengumpul data
      5. Menentukan kaedah menganalisis data
    4. Melakukan eksperimen – lakukan eksperimen mengikut langkah yang dirancang
    5. Mengumpul data
    6. Menganalisis data
    7. Mentafsirkan data
    8. Membuat kesimpulan – Menyatakan kesimpulan yang diperoleh darpada eksperimen yang dijalankan
    9. Membuat pelaporan

​Kemahiran Manipulatif
  1. Kemahiran manipulatif sains perlu diamalkan ketika suatu eksperimen atau penyiasatan.
  2. Terdapat 5 kemahiran manipulatif:
    1. Menggunakan dan mengendalikan peralatan dan bahan dengan betul.
    2. Melakar spesimen, peralatan dan bahan sains dengan tepat.
    3. Mengendalikan spesimen dengan betul dan cermat.
    4. Menyimpan peralatan dan bahan sains dengan betul dan selamat.
    5. Membersihkan peralatan sains dengan cara yang betul.
  3. Kemahiran manipulatif Sains penting supaya:
    1. Hasil pernyiasatan yang diperoleh jelas dan tepat.
    2. Pengurusan alatan dan bahan menjadi lebih sistematik. 

Jom tonton video ni....
Picture



Rujukan: 

Badan Pembangunan Kurikulum. (2014). Kurikulum Standard Sekolah Rendah: Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran Sains Tahun 5. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Suwaibatullasmiah binti Jalaludin, Sopia binti Md Yassin, & Tan Mun Wai. (2014). Sains Sekolah Kebangsaan Tahun 5. Selangor Darul Ehsan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Comments